Berikut disenaraikan beberapa jenis penipuan yang sering
ditemui samada melalui iklan di suratkhabar tempatan mahupun internet:
Contoh 1 : Mengisi sampul surat
Merupakan satu kaedah yang paling klasik sekali dimana ia
bermula semasa kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat sekitar tahun 1920-an dan
1930-an. Anda dijanjikan akan dibayar antara RM1-2 untuk setiap sampul surat
yang anda isikan. Anda hanya perlu membayar sedikit yuran dan anda DIJAMIN akan
menerima sehingga 1,000 sampul surat seminggu yang telah siap diisi dan lengkap
ditampal dengan setem! Apa yang tidak dinyatakan ialah anda perlu mendapatkan
alamat bakal pelanggan.
Setelah pembayaran dibuat, anda akan menerima satu manual
ringkas dan contoh flyer yang perlu anda edar atau iklankan dalam usaha anda
mendapatkan alamat pelanggan. Setelah mendapat langganan dan bayaran, anda
hanya perlu fotokopi manual ringkas tersebut dan berikan kepada pelanggan anda.
Kaedah yang sungguh bijak tetapi tidak beretika.
Contoh 2 : Surat/e-mail berantai (perolehi wang segera)
Jika anda sering mencari peluang pendapatan dari rumah
melalui internet dan suratkhabar, anda pastinya pernah menerima dan melihat
surat/e-mail berantai ini. Mereka menjanjikan bahawa anda hanya perlu menghantar
surat/e-mail bersama sejumlah wang kepada nama mereka yang tersenarai, kemudian
mengeluarkan nama diaras bawah sekali dan digantikan dengan nama anda, dengan
harapan suatu hari anda akan menjadi jutawan.
Ia juga ada dikatakan didalam versi kutu atau konsep saling
membantu melalui kaedah sedekah dimana anda bersetuju untuk memberikan wang
tersebut tanpa sebarang paksaan. Pada dasarnya ia adalah satu bentuk skim
piramid. Biasanya senarai ini akan dimanipulasikan dimana hanya satu nama
sahaja yang sentiasa berada diatas(pengasas program) dan akan menerima wang
sangat banyak.
Contoh 3 : Sila dail nombor 600 untuk maklumat lanjut
Anda tidak perlu menghabiskan banyak masa dan wang dengan
mendail nombor-nombor sebegini. Anda seharusnya tahu bahawa kos panggilan ke
nombor 600 sangat mahal iaitu RM1.95 seminit (7.00 pagi-7.00 mlm) dan RM0.98
(7.00 mlm-7.00 pagi). Bayangkan jika anda menghabiskan 5 minit diwaktu siang,
anda telah membazirkan hampir RM10.00 dan disitulah mereka memperolehi
keuntungan. Simpan wang anda dan jangan mendail mana-mana nombor 600 hanya
untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai apa yang dikatakan peluang bekerja
dari rumah.
Contoh 4 : Senarai nama syarikat
Jangan terpedaya dengan membeli senarai syarikat yang
memerlukan khidmat pekerja dari rumah melalui kaedah ini. Anda membayar untuk
mendapatkan senarai syarikat yang mencari pekerja dari rumah sama seperti anda
sama ada dalam bentuk digital atau bercetak. Antara syarikat yang biasa
tersenarai ialah syarikat yang menawarkan pekerjaan pemasangan barangan,
pengurusan katalog, syarikat MLM, dan lain-lain. Apa yang menjadi masalahnya
ialah, senarai ini tidak semestinya betul-betul benar kerana syarikat tersebut
mungkin tidak mencari pekerja dari rumah ataupun tidak pernah bersetuju untuk
disenaraikan, atau tidak dapat dipastikan adakah perniagaan tersebut dijalankan
secara sah atau masih terbuka peluang untuk anda memohon. Biasanya adalah sukar
untuk anda mendapatkan kembali wang anda.
Contoh 5 : Memasang barangan di rumah
Biasanya peluang serupa ini akan memberitahu bahawa ada akan
memasang barangan seperti anak patung, komponen elektronik, permainan
kanak-kanak, produk kegunaan hotel dan pelbagai lagi projek kraftangan yang
boleh dilakukan dirumah dan dijanjikan upah yang lumayan. Apa yang perlu anda
lakukan ialah dengan membayar deposit atau yuran pendahuluan (yang dijanjikan
akan dikembalikan semula) dan anda akan menerima segala peralatan, barangan dan
arahan yang perlu dilaksanakan.
Anda akan bernasib baik jika menerima produk yang dijanjikan
selepas membuat pembayaran tetapi ramai pengguna yang telah tertipu dengan
kaedah ini. Terdapat juga penipuan yang dilakukan dengan cara, apabila anda
telah menerima produk dan menyiapkan mengikut arahan, anda akan dimaklumkan bahawa
produk anda tidak menepati spesifikasi kehendak syarikat pengeluar. Syarikat
ini sebenarnya membuat keuntungan melalui penjualan pek permulaan dan bukannya
produk yang dipasang. Ini merupakan antara contoh penipuan yang dilakukan
secara terancang dan sistematik oleh sesetengah syarikat.
Contoh 6 : Menaip dari rumah (kerani kemasukan data, kerani,
kerani pemprosesan e-mail dan lain-lain lagi)
Peluang seperti ini juga sering diiklankan untuk memerangkap
anda dengan pelbagai nama jawatan. Biasanya selepas menjelaskan sejumlah wang
kepada agensi penipuan ini hanya untuk mendapatkan maklumat lanjut, anda
biasanya akan menerima bahan-bahan melalui disket, muat turun atau maklumat
bercetak yang akan memberikan anda pelbagai maklumat berkaitan dimana dan bagaimana
anda boleh mengiklankan tentang peluang menaip dari rumah serta risalah jualan
(dalam flyer, surat, e-mail, laman web,dan lain-lain lagi) akan diberikan
kepada sesiapa yang berminat. Apabila mereka membuat pesanan untuk mendapatkan
maklumat lanjut (sama seperti yang anda telah lakukan sebelum ini), anda hanya
perlu mencetak/menyalin semua bahan yang anda telah terima kepada pelanggan
anda. Sebenarnya ia akan cuba menjadikan anda seorang PENIPU!! Kerana
hakikatnya tiada sebarang produk yang dijual, hanya maklumat tentang kaedah dan
bahan mengiklankannya.
Contoh 7 : Perolehi wang dengan melayari Internet
Anda dikehendaki untuk daftar masuk ke laman internet
tersebut sebanyak beberapa kali atau memuat turun sesuatu perisian pelayar
internet ke komputer anda, dan membaca iklan atau melihat papan iklan yang
tertera. Syarikat laman tersebut akan mengenakan bayaran kepada
syarikat-syarikat yang membuat iklan dan ganjaran akan diberikan kepada ahli
yang memenuhi kuota. Apa yang anda tidak ketahui ialah, anda akan mengambil
masa yang lama untuk mencapai kuota yang telah ditetapkan sebelum anda layak
menerima skim bayarannya, itupun sekiranya anda berjaya mencapainya. Tiba masa
anda menerima bayaran, jumlah tersebut akan ditolak pula dengan kos pengurusan
(boleh mencecah 20 peratus). Situasi yang lebih teruk yang boleh berlaku ialah
penutupan laman web tersebut sebelum mana-mana peserta sempat menerima
bayarannya.
Skim seperti ini semakin bercambah dan dalam pelbagai
variasi seperti PAID EMAIL, PAID TO SURF, PAID TO DOWNLOAD dan sebagainya .
Walau bagaimanapun, sekiranya anda ingin mencuba skim-skim seperti ini, anda
perlu memerhatikan perkara-perkara ini terlebih dahulu:
•Berapa bayaran yang akan anda terima untuk aktivit yang
perlu anda lakukan (membaca setiap e-mel, melawat website dan sebagainya)
•Apa yang perlu anda buat selain daripada membaca e-mel,
(contoh: sesetengah skim mengkehendaki anda memasuki laman web yang disertakan
di dalam e-mel). Boleh atau tidak rakyat Malaysia menyertainya? Sesetengah skim
hanya untuk warganegara Amerika Syarikat sahaja.
•Berapakah jumlah paling minimum yang dibayar?Buat pengiraan
berapa lamakah masa yang diperlukan untuk mendapatkan bayaran minimum tersebut?
Ingat bahawa anda perlu membayar akses internet dan bil telefon untuk membaca
e-mel tersebut.
•Bagaimanakah pembayaran akan dibuat?. Sekiranya pembayaran
dibuat dengan menggunakan cek (US Dolar), sebahagian kecil akan diambil oleh
pihak bank sebagai caj perkhidmatan. Jika pembayaran dimasukkan ke akaun online
seperti Paypal, Clickbank, Stormpay,e-gold dan lain-lain, sila pastikan samada
ia mengiktiraf urusniaga dengan warganegara Malaysia dan diiktiraf urusniaganya
oleh pihak berkuasa di negara ini..
Contoh 8 : Melobi wang
Skim ini telah wujud semenjak beberapa tahun yang lalu.
Daripada permulaannya dahulu menggunakan surat dan faks, kini ia semakin
canggih, dengan menggunakan e-mel sebagai medium utama. Skim tersebut
memberitahu anda yang pengirimnya (kebiasaannya daripada negara di Benua
Afrika) mempunyai sejumlah wang yang banyak, memerlukan pertolongan anda untuk
memindahkan wang ini ke dalam akaun bank anda, dan sekiranya berjaya, anda akan
mendapat peratusan daripada jumlah wang tersebut. Ramai ahli peniagaan yang
bijak, dan para remaja telah terpedaya oleh skim seperti ini kerana sifat
tamak. Sebahagian lagi telah kehilangan sejumlah wang yang besar daripada akaun
bank mereka, ataupun kehilangan barangan peribadi yang digunakan dalam jenayah
yang lain. Berita cara penipuan seperti ini pernah disiarkan di suratkhabar
METRO dan KOSMO.
Contoh 9 : Internet MLM
Jika anda pernah terdengar syarikat MLM dan anda pasti tahu
bahawa ia merupakan salah satu jemis perniagaan yang popular di Malaysia. Salah
satu masalah yang sering menimpa sistem MLM ialah kewujudan Sistem Piramid
iaitu proses kenaikan pangkat melalui penajaan ahli menjadi lebih penting
daripada proses menjual produk atau perkhidmatan.
Syarikat-syarikat ini menjanjikan pulangan yang hebat
melalui skim piramid dan dan ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kepada
Skim Cepat Kaya walaupun telah banyak amaran yang diberikan oleh kerajaan.
Sebaik-baiknya periksa latar belakang syarikat tersebut sebelum anda membuat
keputusan untuk menyertainya sebagai ahli. Pastikan syarikat MLM yang ingin
disertai berdaftar dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal
Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta mereka mempunyai lesen jualan langsung yang sah.
Jika syarikat tersebut tidak berdaftar di Malaysia, anda
tidak boleh membuat aduan kepada mana-mana pihak berkuasa tempatan. Anda juga
tidak boleh membuat aduan kepada orang yang memperkenalkan skim tersebut kepada
anda kerana dia juga hanya merupakan seorang ahli sahaja.
Contoh 10 : Sistem affiliate
Sistem affiliate ialah dimana seseorang individu akan
dibayar sejumlah komisen apabila berjaya membuat jualan produk dan perkhidmatan
yang ditawarkan oleh penganjur sistem. Biasanya penganjur boleh jadi orang
perseorangan mahupun syarikat namun ia bukanlah syarikat yang mempunyai lesen
Jualan Langsung. Maka ia tidak dikategorikan sebagai jualan langsung.
Sejak akhir-akhir ini semakin ramai rakyat Malaysia yang
mula membuat sistem affiliate sendiri. Namun kebanyakkannya lebih menjurus
kepada bentuk sistem piramid yang lebih mengutamakan kemasukan ahli baru
berbanding kualiti produk.
Kesemua ini hanyalah maklumat bagi tujuan pendidikan
pengguna sahaja. Ianya tidak melambangkan keseluruhan sistem perniagaan di
Malaysia. Tips yang diberikan ini hanyalah untuk peringatan dan berkongsi
maklumat sesama pengguna.