artikle

Membanteras Barangan Tiruan Dalam Pasaran Tempatan
Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Memiliki barangan berjenama menjadi citarasa kebanyakan orang yang mengutamakan lambang prestij.

Antara barangan yang menjadi idaman ialah pakaian, beg tangan, kasut, jam tangan, cermin mata hinggalah kepada perisian komputer.

Namun tidak semua yang mampu memilikinya kerana harga yang mahal.

Untuk memenuhi tuntutan itu mereka sanggup membeli barangan tiruan yang hampir serupa dengan jenama asli.

Walaupun penguatkuasaan sering dilakukan, namun untuk membanteras kegiatan tersebut mestilah bermula daripada pengguna sendiri.

"Jika tidak ada permintaan, tidak akan ada sindiket-sindiket tersebut untuk terus beroperasi," kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN&HEP) Iskandar Halim Sulaiman.

BARANGAN TIRUAN MUDAH MEMASUKI PASARAN

Menurutnya, pasaran globalisasi hari ini juga menyebabkan barangan tiruan mudah memasuki ke dalam negara.

Dengan kemudahan logistik, barangan yang dikeluarkan di negara lain dapat dihantar dalam masa yang singkat dan mudah.

Pertambahan kontena barangan yang sampai di pelabuhan dan lapangan terbang merupakan satu cabaran dan bebanan kepada pihak berkuasa untuk mengenalpasti kandungannya, kata Iskandar kepada Bernama.

Keadaan itu bertambah rumit apabila pemilik barangan membuat pengisytiharan palsu terhadap kandungan kontena yang dibawa masuk.

Beliau berkata kaedah lain yang sering digunakan ialah melalui penghantaran cepat, bas ekspres dan keretapi.

Malah kecanggihan teknologi masa kini membolehkan pesanan dan bayaran barangan dibuat melalui 'online' menerusi laman web perniagaan yang boleh dilayari pengguna.

"Produknya boleh dimuat terus termasuk produk seperti karya filem, karya muzik, karya seni dan karya terbitan," katanya.

Beliau berkata barang-barang tiruan ini kebiasaannya dibawa masuk melalui pintu-pintu sempadan dan pelabuhan-pelabuhan sama ada secara sah ataupun haram melalui dua bentuk iaitu separuh siap atau siap sepenuhnya.

Bagi barangan yang separuh siap, ia akan menjalankan proses pembungkusan dan pelabelan sebelum diedarkan di pasaran.

Modus operandi kegiatan pengedaran dan penjualan barangan tiruan ini biasanya dengan tidak menggunakan sebarang resit penjualan dan pembayaran hanya dibuat secara tunai.

"Sebab itu apabila serbuan dibuat ke atas penjual-penjual maka pembekalnya tidak akan dapat dikesan. Adakalanya penjual mengetahui siapa pembekal tetapi tidak berani memberitahu kerana ia melibatkan sindiket di mana nyawa mereka akan terancam," katanya.

MEMBEZAKAN BARANG TIRUAN DENGAN ASLI

Iskandar berkata untuk membezakan barangan tiruan dengan asli bukannya mudah.

Perkembangan teknologi dengan penggunaan mesin yang canggih dapat menghasilkan barangan tiruan yang hampir serupa dengan barangan asli, membuatkan orang ramai sukar membezakannya.

Malah para pegawainya sendiri kadangkala menghadapi kesukaran untuk mengenalpasti ketulenan sesebuah barangan ketika membuat pemeriksaan.

Menurutnya ciri-ciri perbezaan kadangkala sukar dilihat dengan mata kasar dan perlu menggunakan peralatan tertentu untuk melihat ciri-ciri khas yang digunakan oleh empunya cap dagangan.

Bagi pengguna pula, katanya secara kasar mereka boleh mengesyaki barangan tersebut sebagai tiruan berdasarkan harga, kualiti, jaminan pembelian, tempat penjualan sama ada di kaki lima, pasar malam, pasar raya ataupun kedai wakil penjual yang sah.

"Pembeli juga sebaik-baiknya membeli suatu barangan yang berjenama dan asli daripada pengedar sah yang mempunyai jaminan kualiti dan bukan berdasarkan kepada barangan yang murah," katanya.

Beliau berkata antara jenis-jenis barangan tiruan yang banyak terdapat di pasaran ialah pakaian, makanan, ubat-ubatan, alat ganti kereta, jam tangan, alat tulis, bahan petroleum, barangan kulit, rokok, arak, kasut, cermin mata, barangan elektrik, alat komunikasi, perkakasan komputer, cakera optik dan pita video.

KEJAYAAN PENGUATKUASAAN

Iskandar berkata pada tahun lepas sebanyak 2,720 kes berjaya ditumpaskan dengan nilai rampasan sebanyak RM13.3 juta.

Jumlah itu katanya menurun berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 3,914 kes dengan nilai rampasan sebanyak RM78.1 juta.

Penurunan ini hasil penguatkuasaan yang berterusan dengan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan lain, pihak industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga media yang membantu memberi pendidikan pengguna.

Daripada jumlah itu, cakera optik merupakan rampasan tertinggi dengan RM3.148 (1,122 kes) diikuti barangan elektrik RM2.54 juta (23 kes), minuman keras RM2.01 juta (dua kes), pakaian RM1.234 juta (517 kes) manakala rampasan paling sedikit ialah alat tulis sebanyak RM29,386 dengan 13 kes.

Iskandar berkata penjualan barangan tiruan ini sukar dihapuskan kerana dipayungi oleh sindiket besar dengan modal yang banyak.

"Hari ini kita rampas, esok mereka boleh beroperasi semula kerana mereka mempunyai rangkaian perniagaan yang besar yang boleh bertukar ganti," katanya.

KESEDARAN PENGGUNA MASIH RENDAH

Iskandar berkata kesedaran masyarakat Malaysia mengenai barangan tiruan masih terlalu rendah terutama di kalangan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah termasuk remaja.

Katanya, tidak dapat dinafikan pengaruh iklan yang berbentuk global dan eksklusif menjadi ikutan atau dorongan kepada pembeli yang mampu, namun yang tidak mampu mereka akan mencari barangan tiruan.

"Tambahan terdapat barangan berjenama tiruan yang hampir-hampir menyerupai barangan yang asli yang boleh dibeli dengan harga yang berpatutan dengan kemampuan mereka," katanya.

Bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, beliau berkata kementerian itu sentiasa mengadakan ceramah serta menerbitkan iklan.

"Usaha itu akan terus dipertingkatkan dan kita berharap suatu hari nanti kesedaran rakyat Malaysia terhadap barangan tiruan akan terus meningkat," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar berfikiran jauh sebelum membeli kerana lambakan barangan tiruan boleh memberi kesan kepada ekonomi negara.

Katanya pembeli harus menjadi pengguna yang bijak, jangan terlalu taksub dengan jenama dan bersikap "ukur baju di badan sendiri".

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment