Apa hukum menjual dan membeli
barangan tiruan kepada jenama-jenamaan yang mempunyai hak cipta terutamanya
pakaian, beg kasut dan lain-lain?
Jawapannya:
Barangan tiruan adalah barang yang
telah diciplak, ditiru dan di copy tanpa izin pencipta dengan jenama yang sama
dan pengguna tidak dapat membezakan yang mana original dan yang mana tiruan.
Sekarang ini barangan tiruan bersepah dan banyak di pasaraya, pasar malam,
kedai borong dan sebagainya.
Barangan tiruan ialah barang yang
dicuri reka dari pencipta yang sebenar tanpa izin dan hal ini sama dengan
masalah mencuri. Islam melarang umatnya mencuri, kerana mencuri itu adalah
haram. Hadis Nabi yang bermaksud :
“Janganlah seorang dari kamu
menjual atas barang jualan orang lain”
Fatwa dari Persatuan Ulamak Fiqh
Sedunia dalam masalah ini ialah haram bagi sesiapa yang meniru barangan orang
lain tanpa izin dari penciptanya. Barangan yang dimaksudkan di sini ialah
barang yang menjadi hak cipta terpelihara.
Orang yang memprodukkan barangan
tiruan seolahnya seperti mereka menipu pengguna dengan jenama yang diberikan.
Contohnya baju kemeja yang diklon dari jenama yang terkenal tanpa izin dari
penciptanya, kemudian produk tersebut dicopkan dengan jenama yang terkenal.
Maka perkara ini merupakan penipuan yang nyata dan Islam sangat melarang
umatnya menipu sepertimana Hadis Nabi yang bermaksud :
“Barangsiapa menipu kami, maka
bukanlah dari golongan kami”
Masalah curi dan menipu ini sangat
jelas dalam Islam dan ia merupakan perkara yang haram dan mungkar. Setiap
perkara yang haram itu jelas dan tiada ragu-ragu dan setiap perkara yang halal
itu juga jelas dan tiada ragu-ragu. Cari sumber rezeki yang halal dan jauhkan
diri dari terlibat dengan perkara yang haram. Kerana rezeki yang haram akan
menjadi darah daging kita dan keluarga kita. Rezeki yang haram juga akan
membuatkan hati menjadi hitam dan benak untuk melakukan perkara-perkara yang
makruf. Hati orang yang makan rezeki yang haram menjadi keras dan susah untuk dibentuk
dan ditarbiah.
Carilah rezeki yang halal dengan
penat lelah diri sendiri, kerana rezeki yang halal ini walaupun sedikit tetapi
ia memperolehi keberkatan dari Allah. Orang yang makan perkara yang halal dan
baik, mudah untuk dirinya dan keluarganya untuk mematuhi segala perintah dan
larangan Allah. Bersyukurlah kepada Allah dengan rezeki yang diberikan kepada
kita semua. Sesungguhnya Allah telah menentukan rezeki kepada setiap manusia.
Kuat doa, usaha dan tawakal maka banyaklah rezeki yang diperolehi oleh kita.
Firman Allah yang bermaksud :
“Wahai orang-orang Yang beriman!
makanlah dari benda-benda Yang baik (yang halal) Yang telah Kami berikan kepada
kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat
kepadaNya.” (Al-Baqarah : 172)
“Oleh itu, makanlah (Wahai
orang-orang Yang beriman) dari apa Yang telah dikurniakan Allah kepada kamu
dari benda-benda Yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika
benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.” (An-Nahl : 114)
No comments:
Post a Comment