DASAR PENGGUNA
NEGARA
KENYATAAN DASAR
Dasar Pengguna
Negara bertujuan menggalakkan keseimbangan hak dan tanggungjawab di kalangan
dan di antara pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan dalam melaksanakan
peranan masing-masing, menggalakkan penggunaan lestari (sustainable
consumption) di kalangan pengguna dan pembekal/pengilang ke arah memelihara
kedaulatan Negara serta prinsip Agama untuk mencapai Wawasan Negara dalam
menjamin kesejahteraan dan kebajikan pengguna dalam era globalisasi.
Dasar Pengguna Negara
memberi fokus terhadap usaha-usaha tiga pihak, iaitu melalui perlindungan
kendiri (self-protection) di kalangan pembekal/pengilang dan penglibatan
Kerajaan melalui peningkatan tahap perlindungan pengguna yang berkesan. Ini
boleh dicapai dengan mewujudkan susasana yang harmoni untuk menggalakkan
keseimbangan hak dan tanggungjawab di antara pengguna, pembekal/pengilang dan
Kerajaan dengan memantapkan bidang perundangan, amalan perdagangan, pendidikan,
kesihatan, kemudahan awam dan lain-lain bidang yang berkaitan.
RASIONAL DASAR
PENGGUNA NEGARA
Dasar Pengguna
Negara (DPN) diperlukan sebagai prinsip dan panduan dalam menggubal
undang-undang berkaitan perlindungan pengguna. DPN juga wajar digunakan dalam
penggubalan mana-mana dasar ekonomi atau sosial negara. Dasar ini adalah asas
kepada segala kegiatan kepenggunaan oleh Agensi Kerajaan, Persatuan Pengguna,
badan bukan Kerajaan yang lain dan sektor swasta supaya perkembangan
kepenggunaan yang lestari (sustainable) dapat dipupuk di negara ini.
DPN diperlukan
dalam menghadapi kesan globalisasi terhadap pengguna, pembekal/pengilang dan
Kerajaan. Kepelbagaian barangan dan perkhidmatan serta kecanggihan teknologi
kesan dari globalisasi mengubah aspek perundangan, ekonomi, strategi
perdagangan dan sosial sesebuah negara.
DPN diperlukan
bagi mewujudkan masyarakat pengguna yang mempunyai perlindungan kendiri iaitu
bijak, bermaklumat, proaktif dah bertanggungjawab, mampu mempengaruhi aktiviti
golongan pembekal/pengilang dan sensitif terhadap segala tingkahlakunya yang
mempengaruhi keadaan ekonomi dan sosial negara.
DPN diperlukan
bagi mewujudkan masyarakat pembekal/pengilang yang mempunyai kawalselia
kendiri, iaitu bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
DPN diperlukan
bagi mencapai Wawasan Kerajaan dalam menggalakkan masyarakat pengguna dan
pembekal/pengilang yang sentiasa prihatin dan berpengetahuan mengenai hak dan
tanggungjawab masing-masing serta berganding bahu bagi mencapai kemakmuran
negara seluruhnya.
1.Tahap
Perlindungan Pengguna Yang Terbaik
Memastikan tahap
perlindungan pengguna yang terbaik dari segi perlindungan kendiri, kawalselia
kendiri dan aspek perundangan. Dari perspektif perundangan, setiap
undang-undang yang melibatkan pengguna hendaklah menyediakan peruntukan yang
melindungi pengguna, tindakan yang munasabah terhadap kecurangan
pembekal/pengilang dan sistem penyelesaian perundingan yang murah, mudah dan
cepat.
2.Amalan
Perdagangan Yang Saksama dan Bertanggungjawab
Menggalakkan
amalan perdagangan yang saksama dan bertanggungjawab dalam segala aspek yang
melibatkan pengguna khususnya dalam aspek pengeluaran, promosi, penentuan harga
dan pemasaran barangan serta perkhidmatan yang dihasilkan oleh
pembekal/pengilang supaya dapat memenuhi keperluan asas pengguna dan
keselamatan pengguna serta menggalakkan pendekatan untung bersama dalam amalan
perdagangan. Menggalakkan kawalselia kendiri dalam amalan perdagangan yang
mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
3.Pendidikan
Memastikan
pendidikan pengguna yang berterusan diberi keutamaan oleh sektor awam dan
swasta dan diintegrasikan dalam aktiviti pendidikan formal dan tidak formal.
Memberi pendidikan pengguna di kalangan pembekal/pengilang mengenai peranan dan
tanggungjawab mereka dalam masyarakat sebagai usaha untuk melahirkan masyarakat
yang adil dan harmoni.
4.Penggunaan
Lestari Dalam Era Globalisasi
Meningkatkan
usaha ke arah amalan penggunaan lestari (sustainable consumption) di kalangan
pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan, untuk menjamin kesejahteraan dan
kebajikan pengguna dalam era globalisasi dan liberalisasi perdagangan.
5.Hubungan Antara
Pengguna, Pembekal/Pengilang Pengilang dan Kerajaan
Mengharmonikan
hubungan pengguna, pembekal/pengilang dan Kerajaan agar semua pihak mempunyai
satu matlamat yang bersepadu iaitu mencapai perlindungan pengguna yang terbaik
di bawah satu dasar iaitu DPN.
1.Meningkatkan
Kebajikan dan Kesejahteraan Pengguna
Matlamat utama
DPN ialah untuk meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan pengguna supaya
menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan berupaya melaksanakan hak pengguna
untuk memilih dan bersuara. Meningkatkan keseimbangan kuasa berunding, maklumat
yang sahih dan mencukupi, serta keseimbangan kualiti/pulangan antara pengguna
dengan pembekal/pengilang.
2.Meningkatkan
Kesejahteraan Sosio-Ekonomi
Mewujudkan dan
menjamin kesejahteraan sosio-ekonomi di kalangan anggota masyarakat melalui
amalan perdagangan yang bertanggungjawab berasaskan kepada hak-hak dan
kepentingan pengguna iaitu hak untuk mendapatkan keperluan asas, membuat
pilihan, mendapat maklumat, gantirugi, keselamatan, menyuarakan pendapat,
mendapat pendidikan pengguna dan hidup dalam alam sekitar yang menjamin
kesihatan.
3.Meningkatkan
Amalan Penggunaan Lestari
Meningkatkan amalan
penggunaan lestari dalam mengurus sumber-sumber yang terhad untuk menjamin
kesejahteraan ekonomi dan sosial. Penggunaan lestari menggalakkan berbelanja
dengan berhemat, menggunakan sumber semulajadi dan kemudahan asas seperti air
dan tenaga dengan berhemat, serta memelihara kesejahteraan dan kebajikan
pengguna generasi semasa dan generasi akan datang.
Strategi-strategi
berikut boleh dilaksanakan bagi tujuan pencapaian objektif-objektif yang telah
ditetapkan:-
Tahap
Perlindungan Pengguna Yang Terbaik
Taraf
kepenggunaan berkait rapat dengan taraf kualiti kehidupan. Faktor-faktor yang
menyumbang dalam peningkatan taraf kualiti kehidupan termasuklah kemudahan asas
yang mencukupi, perumahan yang mencukupi, kemudahan kesihatan yang mampu
dinikmati oleh semua golongan masyarakat, jaminan makanan yang berzat,
kemudahan pendidikan seperti sekolah dan perpustakaan kepada semua golongan
masyarakat, serta kemudahan teknologi maklumat yang kesemuanya memainkan peranan
penting dalam mencapai penggunaan lestari. Peningkatan kualiti kehidupan
memerlukan kerjasama dan permuafakatan pihak Kerajaan, sektor swasta dan
pengguna. Pihak Kerajaan hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas dalam
penggubalan dasar-dasar Kerajaan dan menyediakan infrastruktur yang mencukupi.
Pihak swasta hendaklah mengambilkira faktor-faktor di atas dalam
penghasilan/pengeluaran barangan dan perkhidmatan dan pengguna perlu
bertanggungjawab untuk memastikan kualiti kehidupan kepada taraf terbaik.
Meningkatkan
Perlindungan Kendiri
Mewujudkan badan
khas yang bebas untuk mengendalikan isu-isu kepenggunaan yang dianggotai oleh
pihak Kerajaan, pengguna dan pembekal/pengilang.
Mewujudkan pusat
maklumat pasaran yang lengkap berkenaan barangan dan perkhidmatan di setiap
daerah.
Meningkatkan
Sokongan dan Bantuan Terhadap Pergerakan Kepenggunaan
Kemajuan dan
keberkesanan pergerakan pengguna berkait rapat dengan sokongan masyarakat,
kedudukan kewangan, keberkesanan tenaga penggerak yang mengendalikan gerakan
kepenggunaan dan sokongan Kerajaan. Kekurangan sokongan dari masyarakat,
kedudukan kewangan yang tidak kukuh dan kelemahan dalam pengurusan organisasi
menyebabkan aktiviti pergerakan kepenggunaan tidak dapat dilaksanakan dengan
memuaskan. Oleh itu, Kerajaan perlu meneruskan sokongan terhadap pergerakan
pengguna dan aktiviti-aktiviti kepenggunaan. Sumbangan dan sokongan yang
diberikan sudah tentu dapat membantu persatuan dalam usaha mempertingkatkan
lagi aktiviti-aktiviti kepenggunaan.
Menggalakkan Penyertaan
Persatuan Pengguna Dalam Pembentukan dan Perlaksanaan Program Agensi Kerajaan
Di Peringkat Negeri dan Daerah
Menggalakkan
penyertaan Persatuan Pengguna dalam pembentukan dan perlaksanaan program
kepenggunaan di peringkat negeri dan daerah. Persatuan Pengguna boleh menjadi
saluran utama untuk pengguna mengemukakan aduan dan pandangan dengan lebih
cepat dan berkesan untuk tindakan sewajarnya, contohnya melalui penyertaan
dalam jawatankuasa tertentu diperingkat Agensi Kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Pemantapan
Undang-Undang Perlindungan Pengguna
Kerajaan
hendaklah terus memainkan peranan untuk melindungi dan mengimbangi kepentingan
kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pembekal/pengilang. Dalam hubungan ini,
Kerajaan perlu:-
Memantapkan lagi
penguatkuasaan undang-undang dan peraturan-peraturan agensi penguatkuasaan di
Kemeteriannya supaya tindakan yang berkesan dapat dilaksanakan. Penguatkuasaan
boleh dibantu oleh Persatuan Pengguna.
Meminda
undang-undang yang sedia ada dari masa ke semasa dengan mengenakan tindakan
sivil dan jenayah yang setimpal untuk mengawal kegiatan-kegiatan perdagangan
yang tidak bertanggungjawab.
Menggubal
undang-undang baru dengan mengambilkira kesan globalisasi, liberalisasi
perdagangan dan penggunaan lestari.
Memastikan
setiap undang-undang yang berkait dengan pengguna mengandungi peruntukan yang
menjamin kebajikan dan kesejahteraan pengguna.
Secara umumnya,
dasar kepenggunaan negara untuk setiap individu rakyat Malaysia dari segenap
lapisan masyarakat adalah berpandukan kepada falsafah kepenggunaan dan
kesedaran oleh setiap individu tersebut menengenai tanggungjawab sebagai
seorang pengguna di Malaysia.
Antara falsafah
umum kepenggunaan ialah:
1.Mewujudkan sifat
berdikasi di kalangan para pengguna iaitu " - "Perlindungan Paling
Berkesan Ialah Perlindungan Sendiri."
2.Mewujudkan
pembangunan berorientasikan kepada menunaikan keperluan asas manusia melalui
kuasa beli kita sebagai pengguna bagi mewujudkan satu kebudayaan hidup yang
sesuai, bahagian dan tidak membazir
3.Para pengguna
bolehlah merujuk kepada senarai di bawah samaada mereka mempraktikkkan
tanggungjawab mereka sebagai pengguna atau tidak walaupun tanpa disedari:
4.Kesedaran untuk
mengkritik
Pengguna
mestilah mempunyai kesedaran untuk mengkritik jika berlaku sebarang
penyalahgunaan atau penyelewengan terhadap hak-hak pengguna.
5.Penglibatan dan
tindakan
Pengguna mesti
terlibat dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak-hak
pengguna dilayani dengan adil.
6.Tanggungjawab
sosial
Pengguna mesti
bertindak dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran terhadap masyarakat supaya
tindak-tanduk yang diambil tidak menimbulkan kesulitan yang lebih besar.
7.Bersatu padu
Pengguna mesti
bersatu dan bekerjasama dalam tindakan agar kepentingan mereka tidak mudah
digugat.
No comments:
Post a Comment